Wednesday, April 29, 2009

c.i.N.t.A

Saban hari persoalan tentang cinta sering menjadi topik perbualan oleh setiap kita yang bergelar manusia. Mungkin bukan setiap hari, tetapi setiap saat, eh bukan-bukan.. ayat yang paling tepat adalah setiap detik, pasti ada di antara kita di dunia ini yang berbual, berdailog, berfikir, dan melafazkan cinta. Bagai tiada penghujungnya jika kita bercakap mengenai cinta kerana ungkapan cinta ini sudah tersemat dalam setiap hati sanubari manusia tidak kira sama ada mereka itu masih mentah di dalam buaian ataupun sudah melangkau usia hampir sedekad. Naluri dan perasaan manusia itu sentiasa menginginkan perasaan cinta itu dalam diri mereka, tidak kira daripada insan tersayang, ataupun keluarga tercinta, malah flora dan fauna juga boleh dijadikan saksi di kala kita memerlukan cinta, kerana cinta itu luas aspeknya sehingga meliputi seluruh alam jika kita dapat tafsirkan makna cinta sebenar. Tipulah jika saya katakan bahawa tiada seorang pun di antara kita tidak mempunyai perasaan yang dinamakan cinta.

Cinta itu amatlah indah, memang indah sekali. Tidak dapat dinafikan keindahannya jika kita membandingkan di antara semua perasaan lain yang ada di dalam diri manusia. Cubalah tanya pada perasaan sayang, pasti cintalah yang dijawabnya. Cuba tanya pada benci apa yang paling indah, "sudah tentu cinta", jawab benci. Kerana dari cinta itulah dapat memadamkan segala kebencian di dalam diri dan mewarnai lagi perasaan sayang di dalam hati. Ia mampu mencairkan besi yang panas membara dan ia juga mampu membekukan air di lautan luas, betapa hendak menggambarkan keindahan cinta itu. Mungkin itu sebabnya ramai juga di antara kita yang lemas di dalam lautan cinta apabila cintanya hanya bertepuk sebelah tangan.

Adakah cinta itu buta?? Seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang apabila sudah tiada cinta di hatinya?? Saya tidak menyalahkan sesiapa pun kerana setiap dari kita punyai perspektif yang berbeza tentang cinta. Sebenarnya cinta itu tidaklah buta seperti apa yang kita sangka. Cinta itu sentiasa celik dan akan 'celik' sehingga ke alam barzakh nanti wahai saudara-saudari sekalian. Kita sendiri sebenarnya yang telah mem'buta'kan cinta itu sampai kita menyalahkan cinta seratus 100% dan dari situ bertukarnya daripada 'cinta itu indah' kepada 'cinta itu buta'. Jadi adakah 'kita' atau 'cinta' yang salah dalam soal ini? Sama-sama kita fikirkan.. dan sekali lagi saya ingin nyatakan cinta itu tidak pernah sesekalipun buta tetapi cinta itu sentiasa celik.

Berhati-hatilah wahai pemuda pemudi remaja, apa yang saya lihat istilah cinta pada zaman sekarang sudah disalah tafsir oleh kita semua. Tidak lagi se'romantik' dahulu kerana pabila cinta dilafazkan, maka nafsu terus menghantui perasaan dan berakhirnya sandiwara asmaradana dengan terhasilnya anak luar nikah dan perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Adakah ini semua angkara cinta?? Tidak!! tetapi nafsulah penyebabnya. Jangan disalahkan cinta walau sekalipun. Mempunyai perasaan cinta bukanlah suatu jenayah, tetapi haruslah kita mengawal cinta itu dengan sebaiknya agar tidak tergelincir dari landasan kebenaran.

Kesetiaan dan tolak ansur merupakan aspek yang paling penting jika kita berada di dalam alam percintaan. Tanpa kedua-duanya mungkin cinta itu terus bersemi, tapi tidak seindah seperti yang digambarkan. Setia bukanlah bermaksud kita perlu sentiasa memegang janji sahaja, tetapi setia juga perlulah ada kuasa memaafkan seseorang jika mereka melakukan kesalahan, kerana kita manusia tidaklah sesempurna mana dan pasti ada kesilapan yang dilakukan walaupun sedikit. Tolak ansur amatlah penting bagi mereka yang bercinta kerana dari situlah kita akan mengenali pasangan kita dengan lebih dekat dan rapat. Apabila telah wujudnya kedua-dua aspek di dalam cinta seseorang, maka mereka itu boleh digelar sebagai pasangan bahagia, insyaAllah.

Apa yang dikarang oleh saya ini bukanlah hendak menggalakkan pasangan yang bukan muhrim untuk menghangatkan cinta mereka, kerana kita juga sudah tahu batas-batas syariah bagi mereka. Tetapi adalah untuk memberi kesedaran bahawa cinta itu sebenarnya indah. Cuma bergantung kepada kita bagaimana hendak mengindahkannya, dan seperti yang saya tulis pada awal bicara bahawa skop cinta ini luas, bukanlah hanya tertumpu pada sesama makhluk sahaja. Paling penting adalah bagaimana kita hendak mengindahkan cinta kita kepada yang Maha Esa, yakni Allah Subhanahu Wataala..

"Cinta adalalah kejujuran, ketulusan, dan kesetiaan. Cinta sejati adalah kesucian yang harus dijaga. Cinta semestinya berhulu iman, bermuara takwa dan kebersihan jiwa" Ibnu Hazm El Andalusy